3 of us...

3 of us...
Hubby, Baby Kauthar n Me.. :-)

Sunday, February 27, 2011

Skrip Emcee Untuk Dinner Serikandi - Bistari

Salam frens..again..ingatkan dah x sempat nak post skrip ni by today..alhamdulillah, siapkan dulu kerja2 opis then skrg ada kelapangan semula. So I'll paste this script utk dikongsi bersama semua.. (copy dari PC sendiri yer, bukan copycat dari mana2..). Ok, moga sahabat sekelian dapat membuat rujukan kot2lah one day kena jadi emcee..dan saya sentiasa berusaha utk memperbaiki mutu skrip serta cara penyampaian dan yg lain2nya dari semasa ke semasa..silalah berkongsi kalau2 ada yg nak kongsi juga pengalaman masing2 jd emcee.. ;-)



TEKS PENGACARA MAJLIS SEMPENA :

JAMUAN MAKAN MALAM SEMPENA LAWATAN BADAN AMAL KEBAJIKAN ISTERI WAKIL-WAKIL RAKYAT NEGERI MELAKA (BISTARI) 
KE NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN
PADA HARI JUMAAT, 25 FEBRUARI 2011, JAM 8.15 MALAM, BERTEMPAT DI PUNCAK GAMELAN, TINGKAT 12, PRIMULA BEACH RESORT, KUALA TERENGGANU

Bismillahirahmanirrahim...

·      Y.A.Bhg. To’ Puan Seri Hajjah Norliza binti Mahmud, Yang DiPertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri  Wakil –Wakil Rakyat Negeri Terengganu (SERIKANDI),

·      Y.A.Bhg. Datin Seri Datuk Wira Hajjah Asmah binti Abd. Rahman, Pengerusi Badan Amal dan Kebajikan Isteri  Wakil –Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI), merangkap Pengerusi Kelab Badminton Seri Murni (KBSM) Melaka,

·      Y. Bhg. To’ Puan Hajjah Halijah binti Ali, Isteri Kepada YB Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu,

·      Y. Bhg. To’ Puan Hajjah Rohani binti Abdullah, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia  (PUSPANITA) Cawangan Negeri Terengganu,

·      Y. Bhg. Datin Hajjah Faziah binti Mohamad, Setiausaha Kehormat SERIKANDI,


·      Y. Bhg. Datin Haslina binti Ab. Rashid, Bendahari Kehormat SERIKANDI,

·      Y. Bhg. Puan Sarijah binti Abd. Hamid, Naib Pengerusi Kelab Badminton Seri Murni (KBSM) Melaka,

·       Ketua-ketua jabatan,

·      Semua Ahli Jawatankuasa  dan ahli-ahli SERIKANDI , BISTARI  dan  PUSPANITA,

·      Y. Bhg. To’ Puan-To’ Puan, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian.

·      Assalamu’alaikum WBT, salam sejahtera disulami mesra, Salam 1 Malaysia dan Salam 1 Terengganu...

·      Saya, Nuzulnisa binti Barudin pengacara pada malam yang berbahagia ini akan menemani dan mengiringi hadirin dan hadirat semua sepanjang perjalanan majlis yang sememangnya dinanti-nantikan ini.

·      Songket Terengganu tenunan tangan,
Banyak terdapat di Pulau Rusa,
Selamat datang kami ucapkan,
Moga ukhuwah terjalin sentiasa.

·      Y.A.Bhg. To’ Puan Seri, Y.A.Bhg. Datin Seri Datuk Wira dan semua tetamu jemputan yang dihormati, bagi memulakan majlis, kita mulakan dahulu dengan makan malam yang diiringi dengan persembahan  tarian-tarian tradisional Negeri Terengganu Darul Iman dan juga persembahan nyanyian daripada artis-artis tempatan negeri ini sebagai halwa telinga dan pencetus kehangatan malam...

-          Tarian Gamelan (Topeng) -

·      Bagi persembahan pertama itu tadi, sedikit sinopsis untuk perhatian semua : Ia merupakan sebuah tarian istana yang asalnya di bawa ke Negeri Terengganu hasil perkahwinan Sultan Sulaiman dan Tengku Mariam. Ia ditarikan dengan penuh gemalai dengan tokohnya adalah Saudari Adnan Abdullah atau Mok Nang, sebagai penghidup seni ini. Pada asalnya, tarian ini hanya dimainkan di Balai Gamelan di Perkarangan Istana Kolam. Namun, keindahannya dipersembahkan pula ke khalayak umum bagi memperkembangkan lagi seni budaya istana ini.  Begitulah serba sedikit tentang Tarian Gamelan (Topeng) sebagai pembuka gerak tari warisan.

·      Seterusnya, kita akan dihiburkan pula dengan nyanyian-nyanyian merdu dan mempersona dari artis-artis tempatan negeri ini iaitu Saudari Harmira binti Yusoff dan YM Tengku Mohd. Shahrom bin Tengku Sulaiman.  

-Nyanyian -

·      Terima kasih kepada Saudari Harmira dan YM Tg. Mohd. Shahrom.

-Tarian Rodat -

·      Y.A.Bhg. To’ Puan Seri, Y.A.Bhg. Datin Seri Datuk Wira dan semua hadirin dan hadirat yang dihormati, persembahan tarian sebentar tadi merupakan sebuah kebudayaan rakyat yang dimainkan di majlis-majlis perkahwinan, kenduri serta pesta keramaian. Tarian dan muzik dimainkan dengan alunan dari kitab hadharah yang melambangkan unsur Islam dalam kebudayaan ini. Pukulan tarodat serta tari gemalai mak inang, menjadikan persembahan ini lebih menarik hati. Begitulah berseninya Tarian Rodat, seni warisan bercirikan Islam.

·      Kembali menghangatkan majlis makan malam ini, sekali lagi dijemput Saudari Harmira binti Yusoff dan juga Saudara Najib binti Hamzah iaitu merupakan bekas Juara Bintang Asli Kebangsaan Tahun 2007 untuk menghiburkan kita semua.

·      Terima kasih kepada saudara Najib Ali dan Saudari Harmira.

·      Penerus acara kita seterusnya para hadirin dan hadirat yang dihormati, dipersembahkan sebuah lagi tarian asli negeri ini yang berkonsepkan pemakaian kain songket yang terkenal sejak berzaman di Negeri Terengganu. Sebagaimana lirik nyanyian Biduanita Saloma, Pemuda pemudi kalau berkain songket, Alangkah indah berseri bertambah cantik, Kainlah songket tenun Melayu, Mula asalnya dari Terengganu. Terimalah, Tarian Songket.

-Tarian Songket dan Tarian Joget -

·      Tidak menjadi sesebuah majlis keraian jika tiada tarian joget sebagai penyeri dan perancak suasana. Oleh yang demikian, tarian joget yang dipersembahkan sebentar tadi adalah bagi menggambarkan keindahan dan keharmonian di Negeri Terengganu dengan kepelbagaian tempat yang menarik serta kerancakkan pembangunan di negeri bertuah ini.

·      Indah sungguh tarian Terengganu,
Seni tari warisan berzaman,
Tibalah kita ke acara yang ditunggu,
Ucapan mesra pengukuh ikatan.

·      Bagi meneruskan majlis ini, dipersilakan dengan penuh rasa hormat dan kasih, Y.A.Bhg. To’ Puan Seri Hajjah Norliza binti Mahmud, Yang DiPertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri  Wakil –Wakil Rakyat Negeri Terengganu (SERIKANDI), bagi menyampaikan ucapan aluan sebagai pembuka acara. Dipersilakan.

·      Ucapan -

·      Ribuan terima kasih tiada terhingga diucapkan kepada Y.A.Bhg. To’ Puan Seri di atas ucapan yang ringkas, padat lagi bermakna.

·      Seterusnya dengan penuh hormat  dan mesra , dipersilakan Y.A.Bhg. Datin Seri Datuk Wira Hajjah Asmah binti Abd. Rahman, Pengerusi Badan Amal dan Kebajikan Isteri  Wakil –Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI), untuk menyampaikan ucapan balas bagi penerus acara. Dipersilakan.

·      Ucapan –

·      Ribuan terima kasih tiada terhingga diucapkan kepada Y.A.Bhg. Datin Seri Datuk Wira di atas ucapan balas yang sangat menarik  itu tadi.


·      Y.A.Bhg. To’ Puan Seri, Y.A.Bhg. Datin Seri Datuk Wira dan semua tetamu jemputan yang dihormati, majlis akan diteruskan lagi dengan acara penyampaian cenderahati, sebagai tanda setulus hati, buat kenang-kenangan  pabila kita berpisah nanti.

·      Dipersilakan sekali lagi Y.A.Bhg. To’ Puan Seri Hajjah Norliza binti Mahmud  bersama-sama Y.A.Bhg. Datin Seri Datuk Wira Hajjah Asmah binti Abd. Rahman untuk naik ke pentas.

·      Majlis dengan penuh hormat, menjemput Y.A.Bhg. Datin Seri Datuk Wira Hajjah Asmah binti Abd. Rahman bagi mewakili BISTARI untuk menerima cenderahati daripada SERIKANDI.

·      Seterusnya majlis menjemput pula Y.A.Bhg. To’ Puan Seri Hajjah Norliza binti Mahmud bagi mewakili SERIKANDI untuk menerima cenderahati daripada BISTARI.

Hendak tidur, tidurlah mata,
Jangan dikenang si buah hati,
Malam ini kita berjumpa,
Hari esok bertemu lagi.

·    Sekian, sebelum mengundur diri, saya menyusun 10 jari memohon maaf andai berlaku khilaf..yang baik itu datangnya dari Allah SWT, dan yang lemah itu datangnya dari kekurangan diri saya sendiri.

·    Wabillahitaufikwalhidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahiwabarokatuh.       Selamat malam.

No comments:

Post a Comment