3 of us...

3 of us...
Hubby, Baby Kauthar n Me.. :-)

Tuesday, March 8, 2011

Skrip Emcee Untuk Dinner Serikandi - Pekerti

Salam..sekali lagi saya copy kan skrip emcee yang telah saya laksanakan tugasannya pada 4 Mac 2011 yang lalu di Kediaman Seri Iman..iaitu kediaman rasmi YAB Menteri Besar Terengganu.. Actually this script originalnya adalah dari skrip sebelum ini ( Serikandi-Bestari ) dan saya dahpun ubahsuai sikit mengikut kewajaran tertentu.. yg penting, pantun ditukar cuz tanak nampak sama sgt.Y? Cuz audience sy sebelum ini adalah orang yg sama bagi kedua-dua dinner tersebut.. :-) P/s: I'll upload a lots of pics semasa dinner ini utk post yg akan datang..( cover balik cuz dinner sebelum ni x snap gambo2 show..)


TEKS PENGACARA MAJLIS SEMPENA :
JAMUAN MAKAN MALAM SEMPENA LAWATAN PERSATUAN KEBAJIKAN ISTERI 
WAKIL-WAKIL RAKYAT DAN PEGAWAI-PEGAWAI KANAN NEGERI SEMBILAN (PEKERTI) 
KE NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN
PADA HARI JUMAAT, 4 MAC 2011, JAM 8.15 MALAM, 
BERTEMPAT DI  KEDIAMAN SERI IMAN, KUALA TERENGGANU

Bismillahirahmanirrahim...

·      Y.A.Bhg. To’ Puan Seri Hajjah Norliza binti Mahmud, Yang DiPertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri  Wakil –Wakil Rakyat Negeri Terengganu (SERIKANDI),

·      Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah binti Tengku Nujumudin, Yang DiPertua Persatuan Kebajikan Isteri  Wakil –Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (PEKERTI),

·      Y. Bhg. To’ Puan Hajjah Rohani binti Abdullah, Isteri Kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu,

·      Y. Bhg. Datin Paezah , Isteri Kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan,

·      Y. Bhg. Datin Hajjah Faziah binti Mohamad, Setiausaha Kehormat SERIKANDI,

·      Y. Bhg. Datin Haslina binti Ab. Rashid, Bendahari Kehormat SERIKANDI,

·       Isteri ketua-ketua jabatan,

·      Semua Ahli Jawatankuasa  dan ahli-ahli SERIKANDI  dan PEKERTI,

·      Y. Bhg. To’ Puan-To’ Puan, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian.


·      Assalamu’alaikum wbt, salam sejahtera disulami mesra, Salam 1 Malaysia dan Salam 1 Terengganu...

·      Saya, Nuzulnisa binti Barudin pengacara pada malam yang berbahagia ini akan menemani dan mengiringi hadirin dan hadirat semua sepanjang perjalanan majlis yang sememangnya dinanti-nantikan ini.

·      Tamadun Islam taman warisan,
Jadi kebanggaan kami semua,
Ahlan wa Sahlan kami ucapkan,
Moga ukhuwah berkekalan sentiasa.

·      Y.A.Bhg. To’ Puan Seri, Yang Mulia Raja Datin Seri dan semua tetamu jemputan yang dihormati, bagi memulakan majlis, kita mulakan dahulu dengan makan malam yang diiringi dengan persembahan  tarian-tarian tradisional Negeri Terengganu Darul Iman dan juga persembahan nyanyian daripada artis-artis tempatan negeri ini sebagai sambutan istimewa buat tetamu jemputan...

-          Tarian Gamelan (Selang Arak)-

·      Bagi persembahan pertama itu tadi, sedikit synopsis untuk perhatian semua: Ia merupakan sebuah tarian istana yang asalnya di bawa ke Negeri Terengganu hasil perkahwinan Sultan Sulaiman dan Tengku Mariam. Ia ditarikan dengan penuh gemalai dengan tokohnya adalah Saudari Adnan Abdullah atau Mok Nang, sebagai penghidup seni ini. Pada asalnya, tarian ini hanya dimainkan di Balai Gamelan di Perkarangan Istana kolam. Namun, keindahannya dipersembahkan pula ke khalayak umum bagi memperkembangkan lagi seni budaya istana ini.  Itulah Tarian Gamelan (Selang Arak) sebagai pembuka gerak tari warisan.

·      Seterusnya, kita akan dihiburkan pula dengan nyanyian-nyanyian merdu dan mempersona dari artis-artis tempatan negeri ini iaitu Saudari Harmira binti Yusoff dan YM Tengku Mohd. Shahrom bin Tengku Sulaiman dari Aseni.  

-Nyanyian-

·      Terima kasih kepada Saudari Harmira dan YM Tg. Mohd. Shahrom.

-Tarian Rodat dan Zapin Terengganu-

·      Y.A.Bhg. To’ Puan Seri, Yang Mulia Raja Datin Seri dan semua hadirin dan hadirat yang dihormati, persembahan tarian sebentar tadi merupakan sebuah kebudayaan rakyat yang dimainkan di majlis-majlis perkahwinan, kenduri serta pesta keramaian. Tarian dan muzik yang dimainkan dengan alunan dari kitab hadharah yang melambangkan unsur Islam dalam kebudayaan ini. Pukulan tarodat serta tari gemalai mak inang, menjadikan persembahan ini lebih menarik hati. Manakala, bagi Zapin Terengganu pula ia menggambarkan sejarah dan keharmonian Negeri Terengganu dan ditarikan dalam dendangan zapin.

·      Kembali menghangatkan majlis makan malam ini, sekali lagi dijemput Saudara Mohd. Zamili bin Abd. Kadir dan Saudari Harmira binti Yusoff..

·      Terima kasih kepada Saudara Zamili dan Saudari Harmira.

·      Penerus acara kita seterusnya para hadirin dan hadirat yang dihormati, dipersembahkan sebuah lagi medley tarian-tarian rakyat setempat di negeri ini sebagai penyeri dan perancak suasana. Tarian-tarian ini biasanya ditarikan di majlis-majlis keramaian dan keraian sebagai contoh pada malam ini, ia sebagai satu hiburan bagi mengucapkan selamat datang, bagi menyambut tetamu yang berkunjung. Ia juga menggambarkan keindahan dan keharmonian di Negeri Terengganu dengan kepelbagaian tempat yang menarik serta kerancakkan pembangunan di negeri bertuah ini. Oleh yang demikian, terimalah tarian pintal, jong-jong inai dan joget Terengganu.

  -Tarian pintal, jong-jong inai dan joget Terengganu -

·      Tinggi sungguh hai Bukit Puteri,
Tempat bersemayam puteri rupawan,
Tibalah kita ke acara yang dinanti,
Ucapan mesra pengukuh ikatan.

·      Bagi meneruskan majlis ini, dipersilakan dengan penuh rasa hormat dan kasih, Y.A.Bhg. To’ Puan Seri Hajjah Norliza binti Mahmud, Yang DiPertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri  Wakil –Wakil Rakyat Negeri Terengganu (SERIKANDI), bagi menyampaikan ucapan aluan sebagai pembuka acara. Dipersilakan.

·      Ucapan -

·      Ribuan terima kasih tiada terhingga diucapkan kepada Y.A.Bhg. To’ Puan Seri di atas ucapan yang ringkas, padat lagi bermakna.

·      Seterusnya dengan penuh hormat  dan mesra , dipersilakan Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah binti Tengku Nujumudin, Yang DiPertua Persatuan Kebajikan Isteri  Wakil –Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (PEKERTI), untuk menyampaikan ucapan balas bagi penerus acara. Dipersilakan.

·      Ucapan –

·      Ribuan terima kasih tiada terhingga diucapkan kepada Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah binti Tengku Nujumudin di atas ucapan balas yang sangat menarik  itu tadi.


·      Y.A.Bhg. To’ Puan Seri, Yang Mulia Raja Datin Seri dan semua tetamu jemputan yang dihormati, majlis akan diteruskan lagi dengan acara penyampaian cenderahati, sebagai tanda setulus hati, buat kenang-kenangan  pabila kita berpisah nanti.

·      Dipersilakan sekali lagi Y.A.Bhg. To’ Puan Seri Hajjah Norliza binti Mahmud  bersama-sama Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah binti Tengku Nujumudin untuk naik ke pentas.

·      Majlis dengan penuh hormat, menjemput Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah binti Tengku Nujumudin bagi mewakili PEKERTI untuk menerima cenderahati daripada SERIKANDI.

·      Seterusnya majlis menjemput pula Y.A.Bhg. To’ Puan Seri Hajjah Norliza binti Mahmud bagi mewakili SERIKANDI untuk menerima cenderahati daripada PEKERTI.

Serikandi manis berleher jinjang,
Bertambah manis cantik budi pekerti,
Kalau ada umur yang panjang,
InsyaAllah esok pasti bertemu lagi.
                 
·    Sekian, sebelum mengundur diri, saya menyusun 10 jari memohon maaf andai berlaku khilaf..yang baik itu datangnya dari Allah SWT, dan yang lemah itu datangnya dari kekurangan diri saya sendiri.

·    Wabillahitaufikwalhidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahiwabarokatuh. Selamat malam.

 P/s : Nama penuh kepada isteri YB SUK Negeri Sembilan saya terlupa kerana nama beliau hanya saya    perolehi di saat-saat akhir..harap maaf ..wassalam  :-)

No comments:

Post a Comment